Khamis, 17 Januari 2013

Nu’ayman Ibnu ‘Amr, sahabat yang sentiasa mengelikan hati Rasulullah S.A.W.



Nu’ayman Ibnu ‘Amr merupakan salah seorang sahabat baginda yang sering turut serta dalam peperangan-peperangan besar bersama Rasulullah seperti Perang Badar, Uhud, dan Khandak. Dalam kalangan sahabat, personaliti Nu’ayman sangat berbeza dengan para sahabat yang lain, beliau amat gemar berjenaka dan ‘mengusik’ para sahabat yang lain, malahan baginda s.a.w. sendiri turut ‘dikenakannya’. Walaupun kadangkala gurauannya agak keterlaluan, tetapi kerana baginda sudah mengenali keperibadian Nu’ayman, baginda tidak sedikit pun memarahinya, malahan turut ketawa dengan usikan Nu’ayman.


Bukan hadiah percuma
Pada suatu ketika datang satu kabilah dari luar Madinah yang membawa buah-buahan eksotik dan mahal ke Madinah. Nu’ayman pun mendapatkan buahan tersebut dan berjanji akan membayarnya kemudian. Beliau pun terus membawa buahan tersebut kepada Baginda sebagai hadiah, dan baginda dengan gembiranya terus menikmati buah-buahan itu. Kemudiannya, datanglah penjual buahan tersebut untuk menuntut hutang daripada Nu’ayman. Berkatalah Nu’ayman kepada penjual itu, “Aku tidak memakannya, Rasulullah yang memakannya, jadi mintalah bayaran daripadanya.”

Penjual tersebut terus bertemu dengan baginda untuk mendapatkan bayarannya. Baginda s.a.w. terkejut dan berkata, “Ia diberikan kepadaku sebagai hadiah.” Lalu Baginda memanggil Nu’ayman dan bertanya, “ Ya Nu’ayman, bukankah kamu katakan buahan itu adalah hadiah daripada mu ?.”

Nu’ayman pun menjelaskan kepada baginda bahawa beliau mahu baginda menjadi orang pertama yang memakan buah-buahan tersebut dan merasakan baginda paling layak untuk merasainya, tetapi dia tidak mempunyai sebarang wang untuk membelinya. Nu’ayman berkata lagi, “jadi ya Rasulullah !, bayarlah kepada orang itu.” Mendengar kata-kata Nu’ayman, baginda terus tertawa, dan baginda pun membayarnya.