Selasa, 6 Mac 2012

Umar al-Khattab pakar motivasi rumah tangga.




Umar al-Khattab pakar motivasi rumah tangga.

Umar al-Khattab merupakan salah seorang khulafa al-Rasyidin yang tidak dapat disangkal lagi akan kehebatannya dalam mentadbir negara. Beliau juga sangat terkenal dengan sifatnya yang garang sebelum dan juga sesudah Islam, cuma perbezaannya, sebelum memeluk Islam beliau sangat garang menentang Islam, namun selepas memeluk Islam, beliau ternyata  lebih garang menentang musuh-musuh Islam. Salah satu sifat yang OB suka tentang Sayidina Umar ini adalah beliau seorang yang sangat tegas dan adil.

Pernah terjadi pada zaman pemerintahan beliau, seorang Yahudi telah datang menghadap Sayidina Umar untuk mengadu akan tanahnya yang dirampas untuk dibina sebuah masjid oleh Amru al-Ash, gabenor Mesir pada ketika itu. Mendengar aduan Yahudi tersebut, Khalifah Umar terus memberikan sebatang tulang unta busuk yang digores dengan huruf alif yang dipalang di tengah-tengahnya kepada Yahudi itu untuk diberikan kepada Amru al-Ash. Apabila Amru menerima tulang tersebut, beliau terus membatalkan hasratnya untuk membina masjid tersebut kerana tulang tersebut adalah memberi maksud amaran keras kepada Amru al-Ash iaitu dipancung kepalanya. Peristiwa tersebut telah menunjukkan Sayidina Umar ialah seorang pemimpin yang sangat adil.

Namun, bukan tentang cara mentadbir Sayidina  Umar yang OB mahu ceritakan kepada anda, tetapi adalah berkenaan kepakaran  Sayidina  Umar berkaitan motivasi dalam rumah tangga. Anda mungkin tidak dapat mencari artikel berkenaan motivasi Umar al-Khattab kerana artikel ini hanyalah pandangan OB berkenaan  Sayidina  Umar daripada pembacaan OB berkenaan  Sayidina  Umar.

Mengapa OB cakap Sayidina  Umar seorang pakar motivasi ?, sedangkan ramai yang gentar untuk berhadapan dengannya, memandang matanya saja pun orang tak berani, apa lagi untuk berhadapan dengan Sayidina Umar. Memang betul, ramai yang tidak berani dengan Sayidina Umar lebih-lebih lagi mereka yang menentang Islam. Orang Yahudi yang hendak berjumpa dengan Sayidina Umar tadi pun terketar lutut apabila berhadapan dengan Sayidina Umar. Walaupun begitu, sebenarnya Sayidina Umar boleh dikatakan antara idola terbaik untuk kita, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah atau akan berumah tangga nanti.

Riwayat terbaik menyokong dakwaan OB ini adalah berkenaan seorang lelaki yang ingin mengadu kepada  Sayidina  Umar akan isterinya yang suka berleter, namun semasa beliau ke rumah Sayidina Umar, beliau terdengar Sayidina Umar sedang dileteri isterinya, menyebabkan lelaki itu membatalkan hasratnya untuk meminta nasihat Sayidina Umar.  Sayidina Umar memanggil lelaki itu, dan beliau memberitahu kepada lelaki itu “BERSABARLAH SAUDARA, KITA SERUPA. ISTERI KAMU MARAH SEKEJAP JE TU !!”. Sayidina Umar menerangkan bahawa kita perlu bersabar dengan isteri kita kerana mereka telah melakukan perkara yang tidak diwajibkan terhadap mereka, seperti mencuci pakaian kita, menyediakan makanan kepada kita, dan juga menenteramkan hati kita supaya diri kita terhinidar daripada perkara-perkara yang haram.

Pernah juga pada suatu tengah malam, Sayidina Umar mendengar rintihan seorang wanita yang merindui belaian suaminya yang bekerja sebagai tentera Islam di wilayah perbatasan negara. Berkata wanita itu seorang diri, “JIKA HAMBA TIDAK TAKUTKAN-MU YA ALLAH, PASTI KATIL INI AKAN BERGOYANG !!.” Selepas daripada peristiwa itu, Sayidina Umar memutuskan para tentera yang bertugas jauh daripada keluarganya diarahkan pulang segera, dan tugasan mereka dilakukan secara bergilir-gilir dengan tentera yang baharu kerana Sayidina Umar melihat peristiwa tersebut sebagai ancaman rumah tangga yang boleh menghancurkan umat Islam.

Oleh itu, hasil daripada riwayat-riwayat di atas, dapatlah OB katakan bahawa Sayidina Umar bukan sahaja hebat dalam mentadbir negara, malah merupakan seorang pakar motivasi dalam hubungan rumah tangga.

~ Otak Beku dot com memohon maaf dari otak kiri sehingga otak kanan sekiranya terdapat kesilapan dalam menghasilkan artikel ini~ ^^,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan