Rabu, 3 Oktober 2012

Sukarnya menjadi pemimpin yang adil



Amru al-Ash adalah merupakan sahabat Rasulullah yang sangat cekap dalam menjalankan kerja-kerja pentadbiran, dan pada tahun 640 Masihi beliau telah dilantik sebagai gabenor Mesir oleh Amirul Mukminin, Umar al-Khattab.

Amru al-Ash mempunyai seorang anak lelaki yang sangat suka menunggang kuda sehinggakan puteranya kerap menyertai pelbagai perlumbaan kuda, dan puteranya selalu menjadi pemenang dalam setiap pertandingan.

Maka terjadilah pada suatu perlumbaan kuda yang akan disertai puteranya yang turut disertai oleh joki kuda dari Mesir. Berkatalah anak Amru al-Ash terhadap joki Mesir itu, “Wahai saudara, kamu tidak mampu menang kerana saya sudah memenangi pelbagai perlumbaan kuda.” Dengan rendah diri joki itu menjawab, “Perlumbaan masih belum bermula, janganlah terlalu yakin dengan kemenanganmu yang dahulu.” Jawapan joki itu membuatkan putera Amru al-Ash marah, namun beliau cuba bersabar sehinggalah perlumbaan itu tiba.

Akhirnya perlumbaan pun bermula. Dalam perlumbaan yang sengit tersebut, ternyata putera kepada Amru dan joki tersebut terlalu handal untuk dikejar peserta-peserta lain, sehinggalah pada penghujung perlumbaan kedua-dua mereka dilihat bersama-sama sampai ke garisan penamat. Keadaan ini sangat merumitkan juri-juri untuk menentukan pemenang antara mereka. Akhirnya, para juri membuat keputusan yang belum pernah berlaku dalam sejarah perlumbaan kuda di Mesir iaitu dengan memilih kedua-duanya menjadi pemenang bersama.

Keputusan itu menyebabkan putera kepada Amru al-ash tersinggung sehingga beliau bertindak memukul joki tersebut. Akibat dipukul, joki tersebut mengadu kepada Gabenor Amru al-Ash, namun Amru tidak melayannya kerana ia melibatkan anaknya sendiri. Akibat merasakan dirinya tidak diadili oleh Amru al-Ash, akhirnya joki itu mengadu kepada Amirul Mukminin, Umar al-Khattab yang kebetulan pada ketika itu berada di Madinah.

Mendengar aduan joki tersebut, Umar al-Khattab memanggil Amru al-Ash dan anaknya untuk diadili. Dalam perbicaraan tersebut, Umar al-Khattab sendiri menjadi hakim, dan setelah dihakimi akhirnya kebenaran berpihak kepada joki Mesir tersebut. Sayidina Umar pun menjatuhkan hukuman ke atas Amru dan anaknya iaitu memukul mereka di khalayak.

Berkata Umar, “WAHAI PEMUDA, PUKULLAH MEREKA BERDUA !. DIA TIDAK MENEGAKKAN KEADILAN HANYA KERANA ANAKNYA SENDIRI TERLIBAT. PUKULLAH PUTERA GABENOR INI, BIAR DIA INGAT DIA TIDAK BOLEH MEMUKUL ORANG SESUKA HATI HANYA KERANA JAWATAN YANG DIPEGANG AYAHNYA.”

Cerita di atas sentiasa releven untuk masa kini dan selamanya, namun pada hari ini mampukah lagi kita mencari pemimpin yang seadil sayidina Umar al-Khattab ?.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan