Ahad, 25 Mac 2012

Taliban : Antara Fakta Sejarah dan Pembohongan


Taliban : Antara fakta sejarah dan pembohongan

Ramai menganggap bahawa Taliban ialah sebuah organisasi Islam yang bersifat radikal dan berfikiran jumud (sempit). Tapi, tahukah anda Taliban sebenarnya tidaklah seradikal seperti yang digambarkan oleh pihak barat yang semata-mata bertujuan untuk memberikan kefahaman sempit mengenai Islam dan dengan itu mereka berjaya mengambarkan Taliban sebagai kumpulan radikal Islam yang berkefahaman sempit dan radikal. Mereka ini menggunakan alasan tersebut hanyalah semata-mata untuk menyerang Afghanistan. Tidak dinafikan kumpulan Taliban berfahaman agak radikal namun tidaklah seradikal seperti yang digambarkan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya. Daripada kajian yang OB lakukan, ternyata terdapat banyak fakta tersembunyi mengenai Taliban yang kita sendiri tidak tahu sebenarnya.

Tahukah anda bagaimana Taliban ditubuhkan..? Secara faktanya Taliban ialah sekumpulan pelajar yang dipanggil Taliban (Taliban maknanya pelajar-pelajar) telah menubuhkan gerakan pelajar Taliban bermula di sebuah perkampungan di Kandahar yang terletak di wilayah selatan Afghanistan. Taliban mula wujud sebagai sebuah gerakan apabila seorang ‘warlord’ (ketua kumpulan bersenjata – bandit) telah menculik dan memperkosa dua kanak-kanak perempuan. Ibu bapa kanak-kanak perempuan tersebut telah pergi ke sebuah ‘sekolah agama pondok’ dan meminta guru di sekolah tersebut menolong mereka. Guru tersebut iaitu Mullah Muhammad Umar bersama-sama 53 orang murid beliau yang lebih dikenali sebagai Taliban, dengan bersenjatakan hanya 16 senapang, mereka telah bertindak berani dengan menyerang pengkalan komander tersebut. Selepas membebaskan kedua kanak-kanak perempuan yang diculik itu, mereka telah menggantung mati komander tersebut termasuklah kebanyakan orang-orang komander tersebut. Kisah ini tersebar luas ke seluruh dunia, termasuklah BBC yang juga telah melaporkannya. Setelah terdengar kisah tersebut, maka lebih ramai pelajar yang telah menyertai gerakan (Taliban) tersebut. 

Taliban merupakan pergerakan Islam yang memerintah sebahagian besar Afghanistan dari 1996 sehingga 2001, walaupun hanya mendapat pengiktirafan diplomatik dari tiga negara (Amiriah Arab Bersatu, Pakistan, dan Arab Saudi). Pada tahun 1996, puak Taliban berjaya merampas 90% negara ini sewaktu memerintah Afghanistan, dan mereka telah melaksanakan kerajaan Islam secara 'ekstrim'. Pihak Taliban mendapat sokongan meluas daripada puak Pashtun, Afganistan dan daripada beberapa negara jiran semasa perkembangan awalnya. Sayyid Rahmatullah Hashemi, iaitu duta bagi pihak Afghanistan semasa pemerintahan Taliban, beliau telah melawat Amerika Syarikat awal tahun 2001, dan telah menyampaikan ceramah di Universiti Southern California di Los Angeles, pada Mac 10, 2001 iaitu enam bulan sebelum berlakunya serangan ke atas Pentangon dan PWTC di New York. Dalam ceramah tersebut, beliau telah menjelaskan tentang salah sangka masyarakat dunia selama ini terhadap pihak Taliban. 

Menurutnya, selama Taliban memerintah Afghanistan dalam 5 tahun, perkara pertama yang dilakukan oleh Taliban adalah menyatukan negara yang berpecah-belah. Tahukah anda bahawa Afghanistan sebelum ini adalah berpecah kepada lima kawasan dan akhirnya berjaya disatukan di bawah pemerintahan Taliban, sesuatu yang gagal dilakukan oleh pihak-pihak lain sebelum ini. Perkara kedua yang dilakukan oleh Taliban yang gagal dilihat adalah melucutkan (merampas) senjata yang dimiliki rakyat. Selepas peperangan dengan Russia, hampir setiap orang Afghanistan memiliki senjata, dan ada yang memiliki pesawat dan helikopter pejuang, tetapi Taliban telah berjaya melucutkan senjata sebanyak 95% di kawasan negara Afghanistan. Kejayaan Taliban yang ketiga adalah membawa Afghanistan di bawah satu pentadbiran, sesuatu yang tidak wujud selama 10 tahun sebelum Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan. Kejayaan keempat , adalah memusnahkan sebanyak 75% tanaman candu dunia. Sebelum mereka menghapuskannya, 75% bekalan candu dunia dihasilkan di Afghanistan. Dan pada tahun 2000 Taliban telah mengeluarkan perintah mengharamkan penanaman candu, dan pada tahun 2001, ketua Program Kawalan Dadah PBB di bawah naungan UNDCP, Encik Barnard F telah mengisytiharkan Afghanistan bebas sepenuhnya daripada tanaman candu . 

Kejayaan Taliban yang kelima adalah memulihkan hak-hak asasi manusia di Afghanistan. Walaupun ramai yang telah menuduh Taliban melanggar hak-hak asasi manusia, realitinya adalah Taliban sebenarnya telah memulihkan hak-hak asasi manusia. Antara hak-hak asasi bagi seseorang manusia adalah hak untuk hidup dengan selamat. Sebelum Taliban memerintah, tidak seorang pun di Afghanistan boleh hidup dengan selamat. Malah perkara pertama yang dilakukan oleh Taliban adalah mewujudkan keadaan yang selamat dan aman. Selain itu, Taliban juga telah memulihkan sistem kehakiman yang bebas dan adil. Rakyat Afghanistan tidak perlu membayar untuk mendapat pengadilan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat. Menurutnya lagi , "di Afghanistan anda tidak perlu membeli keadilan. Di Afghanistan pengadilan adalah percuma dan mudah diperolehi."

Isu-isu yang melibatkan puak Taliban


Hak-hak kaum wanita Taliban telah dikritik kerana didakwa melanggar hak-hak wanita. Beliau menjelaskan bahawa sebelum Taliban memerintah, kaum wanita di kawasan luar bandar diperlakukan seperti binatang iaitu mereka dijual dan diperdagangkan. Kemasukan Taliban telah berjaya menghapuskan amalan yang sangat keji ini. Selain itu, kaum wanita juga tidak berhak bersuara dalam pemilihan suami bagi mereka. Antara perkara yang pertama Taliban lakukan adalah memberi hak kepada wanita untuk memilih bakal suami masing-masing. 

Suatu lagi perkara jelek yang berlaku ke atas kaum wanita di Afghanistan adalah mereka ditukar-tukar sebagai hadiah. Sememangnya amalan ini bercanggah dengan agama. Ia sebenarnya merupakan budaya, sudah menjadi tradisi apabila dua puak yang bertempur ingin berdamai, maka mereka akan bertukar-tukar wanita, dan amalan keji ini sudah dihentikan oleh Taliban. Barat juga menuduh kaum wanita di Afghanistan tidak diizinkan berkerja, berlainan sekali dengan realitinya kerana kaum wanita di Afghanistan sebenarnya diizin berkerja. Sebelum 1996, iaitu sebelum Taliban menakluki ibu negara, Kabul, Taliban telah meminta kaum wanita supaya duduk rumah, "tetapi kami tidak sekali-kali berniat untuk menyuruh mereka duduk rumah buat selama-lamanya. Kami menerangkan kepada kaum wanita bahawa mereka perlu duduk rumah kerana pada masa itu keadaan huru-hara tanpa kuat kuasa undang-undang dan oleh itu tidak selamat bagi wanita untuk keluar daripada rumah."

Berikut adalah cebisan dari transkrip ceramah beliau di Universiti Southern California di Los Angeles, pada March 2001 :

“Kini Taliban sudah melucutkan senjata-senjata milik persendirian, dan sudah menguatkuasakan undang-undang, maka dengan keamanan tersebut wanita sudah dibenarkan berkerja semula. Walaupun mereka mengakui wanita-wanita tidak dibenarkan berkhidmat Kementerian Pertahanan dan diperalatkan sebagai objek-objek menghiasi iklan-iklan. Tetapi wanita Afghanistan memang dibenarkan berkerja. Mereka berkerja di Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, pendidikan, kebajikan awam Wanita dan pendidikan . 

Kami juga tidak menghalang kaum wanita untuk mendapat pendidikan. Kami telah menyatakan kami mahu wanita diberi pelajaran, dan kalau pun tidak ada tekanan dari pihak luar kami tetap akan memberi pelajaran kepada kaum wanita kami, ini adalah pegangan kami. Kami diperintah (oleh Allah) untuk memberi pelajaran kepada kaum wanita. Bila kami menetapkan sekolah-sekolah berasingan untuk lelaki dan wanita, ianya tidak bermakna kami tidak ingin wanita diberi pendidikan. Memang benar kami menentang ‘co-education’ (sekolah campuran lelaki-perempuan), tetapi tidaklah benar sama sekali untuk menuduh kami menyekat kaum wanita dari mendapat pendidikan.

Kami ada sekolah-sekolah, tetapi masalahnya adalah sumber-sumber pembiayaan. Sebelum kami mengambil alih pemerintahan terdapat bermacam sekatan pelajaran seperti kurikulum yang mendidik taat setia kepada keluarga di raja, sekatan pelajaran ala komunis, dan kurikulum yang diperkenalkan oleh bermacam pihak. Oleh demikian, pelajar-pelajar menjadi bingung. Kami sudah pun dapat menyatukan semua kurikulum yang bercanggah-canggah itu. 

Baru-baru ini kami membuka semula Fakulti Perubatan di Kandahar dan bandar-bandar utama yang lain di Afghanistan. Terdapat lebih ramai pelajar wanita daripada lelaki yang mengikuti kursus perubatan tersebut, tetapi mereka diasingkan, dan pihak Sweden telah membantu mendirikan sekolah-sekolah perempuan. Sememangnya masih tidak mencukupi, tetapi ini sahaja yang kami mampu buat masa ini."

Maka, jelaslah di sini bahawa tanggapan dunia terhadap Taliban selama ini sebenarnya adalah tidak tepat sama sekali. 

Isu patung buddha Bamiyan 

Pada Mac 2001, pihak Taliban mengarahkan pemusnahan dua patung Buddha yang dipahat pada permukaan tebing di Bamiyan, salah satunya setinggi 38 meter dan berusia 1,800 tahun, manakala yang satu lagi setinggi 53 meter dan berusia 1,500 tahun. Tindakan ini dikutuk oleh UNESCO dan kebanyakan negara di seluruh dunia. Taliban bagaimanapun membalas dengan menyatakan bahawa ada pihak luar yang menawarkan duit untuk membaik pulih kepala patung yang rosak, sedangkan kanak-kanak di Afghanistan ketika itu sedang kebuluran. Rakyat Afghanistan berasa terlalu marah kerana pihak UNESCO dan NGO yang berkenaan menganggap orang Afghanistan sebagai sampah apabila Taliban meminta duit tersebut disalurkan kepada kanak-kanak, tetapi mereka menolaknya. Maka, patung-patung tersebut telah dimusnahkan. Oleh itu, walaupun secara kasarnya pemerintahan Taliban dilihat bersifat agak radikal, namun ia tidaklah seradikal seperti yang digambarkan oleh pihak barat selama ini.

Tetiba Otak Beku terikat akan kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Beliau pernah di tanya oleh anaknya..''Kenapa ayah tidak mahu melaksanakan pemerintahan Islam secara total ?." Khalifah Umar Abdul Aziz pun menjawab pertanyaan anaknya itu, ''jikalau ayah melaksanakan pemerintahan  Islam secara total, ayah bimbang orang akan tolak Islam secara total..."

1 ulasan:

  1. Hihihi maaf bertanya, siapa yang bagi ulasan dalam cebisan transkrip ceramah itu, sekian terima kasih

    BalasPadam