Isnin, 23 April 2012

Teh Hijau : sumber kehidupan



Bila OB sebutkan perkataan 'teh', pasti anda akan terbayangkan serbuk teh yang berwarna coklat kemerahan-merahan yang berbau harum. Apabila dicampurkan dengan air panas, maka terbitlah aroma yang membangkitkan ghairah anda untuk meminumnya. Dengan kepahitan rasanya, ditambah pula dengan sedikit gula, pasti anda terus tergoda untuk meminumnya, ibarat godaan seorang wanita seksi yang melirikkan senyumannya kepada anda. “ Kenapa tiba-tiba OB kaitkan teh dengan godaan-godaan ni ?. isshh… gelilah, tapi betul ke teh boleh menggoda ?. Kalau betul, saya nak guna teh sebagai ganti minyak pengasihlah lepas ni !!.hihi…”. Sudah tentu boleh !!. Sebenarnya teh boleh diibaratkan sebagai “unsur pengasih”, tetapi hanyalah digunakan untuk menggoda mereka yang kurang nafsu makan, kerana teh mampu meningkatkan nafsu makan.

Jadi, anda bolehlah menggunakan teh untuk menggoda kambing atau kucing anda yang kurang selera makan tu. Berbalik kepada topik yang sebetulnya, tahukah anda, teh merupakan minuman utama di dunia, dan teh mempunyai banyak khasiat yang tidak terduga oleh kita. Oleh itu, bagi merungkaikan keajaiban teh ini, OB akan memberikan anda maklumat-maklumat tentang teh daripada sejarahnya sehinggalah kepada fakta-fakta dan kajiannya. Cuma yang OB minta, anda akan “tergoda” untuk membacanya dari mula hingga akhir.

ASAL USUL

Mengikut sejarah, teh adalah berasal dari China (sesetengah berpendapat dari India). Bangsa Cina dikatakan telah minum teh sejak dari 5000 tahun yang lalu untuk kesihatan dan kenikmatan.  Mengikut lagenda Cina, teh pertama kali ditemui secara tidak sengaja oleh Kaisar Shen Nung yang pada waktu itu sedang merebus air. Tengah-tengah Kaisar menunggu air menggelegak, tiba-tiba terjatuh beberapa helai daun teh ke dalam bekas rebusan air tersebut, menyebabkan air tersebut berubah warna dan menghasilkan aroma. Dengan muka songornya (bodoh), Kaisar meminum air tersebut, dan ternyata kepahitan teh tersebut menyebabkan Kaisar melompat kegirangan.Yeehaa !!...

Beliau percaya teh tersebut telah dapat menyegarkan badan, dan terus dijadikan minuman hariannya. Hasil daripada penemuan itu, maka berkembanglah teh ke seluruh pelosok dunia seperti di Jepun pada abad ke-9, seorang biarawan Jepun iaitu Dengyo Daishi yang telah mengambil benih teh dari China. Pada abad ke-17 pula, pedagang dari Belanda dan Portugis pertama kali memperkenalkan teh ke seluruh Eropah, juga diambil dari China. Menurut sejarah, bangsa Rusia adalah merupakan penggemar awal teh di Eropah.

Manakala mengikut lagenda atau mitos dari India pula, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan teh ialah biarawan Bodhidharma. Mengikut ceritanya, setelah penat bertapa selama 7 tahun, beliau berasa sangat letih. Disebabkan tiadanya makanan untuk dimakannya, beliau telah mengambil beberapa helai daun daripada pokok di sekitarnya, dan ternyata selepas memakan daun tersebut (teh), Bodhidharma berasa segar kembali, ibarat beliau meminum sebotol air Tongkat Ali lagaknya.

Itulah serba sedikit sejarah teh untuk anda semua, banyak lagi sejarah tentang teh sebenarnya, tapi tahukah anda…??, daripada banyak-banyak teh, teh hijau adalah yang terbaik kerana terdapat banyak khasiat daripada teh tersebut, namun OB juga tidak boleh menafikan khasiat daripada teh-teh lain. Oleh itu, OB akan menerangkan secara umum kebaikan semua teh, tetapi lebih kepada kebaikan teh hijau.

Walaupun banyak kajian ilmiah yang dilakukan, namun masih terdapat golongan masyarakat yang masih jahil untuk mengakui kebaikan teh sehingga melarang anak-anak mereka untuk meminumnya lantaran timbulnya mitos “meminum teh akan merosakkan akhlak dan melemahkan syahwat”. Jadi, OB berasa bertanggungjawab untuk mengikis pemikiran sebegitu dengan penghasilan artikel ini.

KAJIAN-KAJIAN DAN FAKTA-FAKTA ILMIAH

 1.  LEMBAGA BARAH SHANGHAI, CHINA
Lembaga Barah di Shanghai, China telah melakukan kajian terhadap teh hijau. Menurut hasil kajian yang dilakukan, mereka yang minum secawan teh hijau seminggu sekali secara rutin dalam waktu enam bulan dan ke atas, risiko terkena penyakit barah adalah lebih kurang berbanding mereka yang tidak meminum teh hijau tersebut.
  
      2.   PUSAT PENELITIAN BARAH SAITAMA, JEPUN
     Kajian yang dilakukan Pusat Penelitian Barah Saitama di Jepun pula menunjukkan bahawa orang yang minum teh hijau ni adalah sedikit kemungkinan untuk terkena barah paru-paru (64%), barah mata kronik (50%), barah perut, malah jika teh hijau dijadikan rutin harian dapat menghalang daripada penyakit-penyakit berbahaya yang lain seperti penyakit hati, kolesterol, tulang rapuh, radang otak, dan sebagainya
 
      3.  FAKULTI KEDOKTORAN UNIVERSITI TOKYO, JEPUN 
      Menurut para penyelidik di Fakulti Kedoktoran Universiti Tokyo, pengambilan secawan teh selepas makan dapat mengurangkan rasa sakit akibat lemak di dalam badan. kesakitan daripada lemak tersebut adalah sebenarnya berpunca daripada kolesterol yang menyebabkan pembuluh darah menjadi keras dan sempit. Dalam keadaan inilah encik penyakit jantung tersengih manja melihat anda kesakitan. Namun, antioksida yang terdapat pada teh tersebut akan membantu anda terhindar daripada sakit jantung kerana antioksida membantu melancarkan aliran darah.

      4.  FAKULTI KEDOKTORAN UNIVERSITI HARVARD, AMERIKA
Menurut doktor pakar daripada Fakulti Kedoktoran Universiti Harvard, bahan-bahan kimia yang terdapat dalam teh hijau dapat menghalang daripada penyakit influenza (demam selesema burung, babi). Bagaimana caranya ?, anda hanya perlu berkumur dengan air teh hijau itu sahaja. Teh hijau tersebut ternyata berjaya merangsang sel “Gammadelta” yang berfungsi untuk memperkuatkan ketahanan badan bagi melawan bakteria dan virus.


MANFAAT TEH 
       
1. Teh hijau membantu mengurangkan kadar kolesterol negatif (mencegah penyakit jantung dan pengerasan pembuluh darah).

2. Anda suka berjemur, tapi tiada duit nak beli krim perlindungan UV ?. Jangan bimbang, teh hijau dapat membantu anda melindungi kulit daripada sinaran matahari.

3. Jika muka anda berjerawat atau mempunyai kudis di badan. Jangan segan silu sapukan teh hijau ke tempat kulit yang bermasalah tersebut.

4. Andainya nafas anda berbau syahdu (hampehh), teh hijau dapat membantu anda menghilangkan bau nafas tersebut.

5. Selepas makan, silalah minum teh hijau kerana teh hijau dapat membantu mengurangkan gula dalam badan anda, dan secara tidak langsung, perut anda boleh seramping pinggang kerengga. Ada lagi, teh hijau juga dapat mengurangkan risiko keracunan makanan akibat daripada bakteria makanan.

6. Jika anda lemah daya ingatan dan tumpuan, teh hijau dapat membantu anda kerana teh hijau dapat mencegah penggumpalan darah dalam otak.

7. Anda takut tulang anda rapuh ?. jangan bimbang, sila minum teh hijau untuk menguatkan tulang anda, dan secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan anak-anak lembu akibat kehilangan terlalu banyak susu ibunya.

8. Mahu gigi anda sekuat gigi ikan jerung ??. jadi, sila amalkan meminum teh hijau kerana di dalam teh hijau terdapat banyak fluroid yang dapat membantu menguatkan gigi dan menghalang gusi anda daripada rosak.

Sememangnya teh mempunyai banyak kebaikan lebih-lebih lagi teh hijau yang sememangnya terbukti sangat baik untuk kesihatan. Jadi, bagaimana ??, mahu mencuba teh hijau sebagai sarapan pagi atau petang anda ?. Terserah saja kepada anda kerana "OB bukannya ah-long, tapi hanya mahu tolong". Tolong apa...?? tolong menyebarkan maklumat untuk pengetahuan anda je. Okeh... jumpa lagi dalam artikel akan datang, tapi OB tak janji cepat atau lambat artikel OB nanti. Assalamualaikum w.b.t. ^^,


Tiada ulasan:

Catat Ulasan